Thursday 31 March 2016

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 (Siri Jelajah Angklung 1Malaysia)

Bas Sekolah Sukan Seksyen 11 mengambil kami petang 29 Mac 2016 untuk ke MAEPS menyertai raptai majlis.  Kali ketiga rasanya kami menaiki bas sekolah ini. Pertama sekali sewaktu ke Sungai Nibong, kali kedua tak ingat dan ini kali ketiga ke MAEPS.



Beberapa kali membuat sound check dan aku entah mengapa minggu ini banyak membuat kesilapan yang tidak sepatutnya. Boleh CD minus one yang hendak digunakan kutinggalkan dalam kereta KIAku. Terkial-kial memikirkan cara terbaik untuk menggantikannya. Last last aku guna lagu Dikir Puteri. Alhamdulillah setelah mendengar lagu dari hp Riezwan aku mula terfikir untuk email lagu tersebut kepada pengurus PA System dan akhirnya berjaya.



Pagi Rabu 30 Mac 2016, sekali lagi menuju ke MAEPS dengan bus Sekolah Sukan Seksyen 11. Risau sepanjang perjalanan takut lambat sampai. Kukerahkan anak-anak angklung bersiap di dalam bas.


 Sesampai di dewan kami bersarapan dahulu. Sakan anak-anak angklungku mengisi perut...macam makan tengahari. Selambak nasinya. Siap sahaja bersarapan kami ke Bilik Media yang dikhaskan untuk kumpulan persembahan untuk membuat persiapan.


Kemudian menanti giliran untuk membuat persembahan. Posing sana sini lagi. Sempat bergambar bersama-sama Tuan Haji Aznan Kassan, Pengetua kami lagi.



Berbaris kemudiannya menanti nama kumpulan disebut untuk naik kepentas. Bergambar lagi.


Naik ke pentas dan terus dengan penuh keyakinan anak-anak angklungku memulakan persembahan. Aku yang kat bawah ni rasa sungguh gementar untuk mendengar ayunan pertama mereka, tanda mereka akan sukses atau kecundang dalam perjuangan seterusnya. Alhamdulillah, ayunan yang mantap dari mula hingga akhir lagu. Syabas anak-anak angklung SMK Taman Sri Muda Hebat!




Kami kemudian terus berposing sana sini sebelum menikmati juadah makan tengahari dan kemudian pulang ke Shah Alam dengan penuh kegumbiraan. Yey!






Saturday 26 March 2016

Anugerah Kecemerlangan Kurikulum 2015 (Siri Jelajah Angklung 1Malaysia)

7.30 pagi anak-anak angklung sudah bersedia dengan senjata masing-masing iaitu angklung. Syabas kepada mereka tepat pada waktu. Kuberikan amanat terakhir sebelum memulakan persembahan dan mengingatkan mereka akan prosedur persembahan. Sarapan dulu sebelum bergoyang di atas pentas.



Membawa anak-anak angklung ke Dataran Perpaduan untuk bergambar bersama para pentadbir sekolah. Penting!



 

Sakanlah anak-anak angklung kalau suruh berposing. Sebelum persembahan dimulakan kami posing lagi.



Sebaik sahaja ucapan perasmian selesai dilafazkan anak-anak angklung mula memenuhi pentas dan ruangan hadapan dewan. Seramai 32 orang anak angklung memberi persembahan hari ini. Alif dan Azean missing in action. Faris pula ada masalah keluarga. Kalau nak bergambar group tak pernah cukup kelab ni. Namun persembahan berjalan lancar. Terima kasih kepada semua.






Peringatan Hari Polis ke 209 Tahun (Siri Jelajah Angklung 1Malaysia 2016)

22 Mac menaiki trak polis menuju ke IPD Shah Alam di seksyen 9. Menanti abang drebar polis datang mengambil kami di stesen minyak Petronas berhampiran AEON Shah Alam oleh kerana kami baharu sahaja selesai mengiringi perasmi AEON. Pertama kali anak-anak angklung menaiki trak ni.


Latihan hari ini di dalam dewan sahaja. Ahli-ahli koir polis pun belum berkumpul lagi. Kuarahkan anak-anak angklung pergi solat dahulu sementara menanti. Latihan dimulakan jam 4.00 petang setelah semua alatan tersedia. Agak berterabur jugalah. Namun ianya dapat diatasi dengan baik. Jam 5 petang kami berangkat pulang ke sekolah.



23 Mac 2016....sekali lagi kami ke IPD Shah Alam untuk raptai penuh bersama pasukan polis. Cuaca agak redup. Alhamdulillah, namun bahang panas tetap terasa.




Setelah mencuba beberapa kali akhirnya kata putus diberikan ....kami akan mainkan lagu tanpa menggunakan minus one. Bergabung dengan pasukan koir polis. Satu pengalaman baru untuk kelab ini. Jam 5.00 petang latihan berakhir dan kami dihantar pulang dengan trak sekali lagi.


24 Mac 2016 raptai terakhir sebelum majlis sebenar berlangsung esok. Hari ini kami bertolak pagi ke balai. Bersarapan pagi di kantin dengan bekal yang telah ditempah pada abang Din kantin semalam. Setelah sedia kami berkumpul di hadapan balai untuk menjalani raptai penuh.



Sekejap sahaja raptai pada pagi ini. Hanya dua kali raptai dilaksanakan dan semuanya berjalan lancar. Kami bertolak pulang awal ke sekolah hari ini dan meneruskan latihan untuk persembahan lain. 

25 Mac 2016 Hari Polis yang ke 209 tahun. Kami menanti pengangkutan tiba selama 2 jam. Alhamdulillah pengalaman mengajar aku untuk menyiapkan anak-anak angklung lebih awal supaya tidak tergesa-gesa nanti. Sampai sahaja di balai kami disambut mesra dan diberikan tempat untuk meletakkan barang dan alatan. Terus kami bersiap-sedia untuk majlis berlangsung. Posing dahulu.




Tepat jam 3.30 petang sambutan pun dimulakan. Cuaca sungguh panas hari ini. Alhamdulillah diberitahu tadi banyak acara dicantas. Bimbang juga aku budak-budak ni berjemur di bawah terik mentari.




Majlis berjalan dengan lancar. Dua buah lagu polis didendangkan dengan baik sekali oleh pasukan koir dan kelab angklung. Satu kerjasama yang jitu. Setelah menikmati minum petang kami bertolak pulang dengan gembira. Walaupun penat sepanjang minggu ini namun pengalaman yang diterima mengatasi segala penat-lelah yang dilalui. Tahniah kepada anak-anak angklung Wariseni!

Friday 25 March 2016

Perasmian AEON Piazza Shah Alam (Siri Jelajah Angklung 1Malaysia 2016)

21 Mac bertolak ke AEON Shah untuk membuat raptai perasmian AEON Shah Alam. Pak Ariffin menemani kami hari ini.



22 Mac 2016 hari yang bersejarah buat kelab ini. Kami mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke dalam AEON untuk merasmikan pembukaan AEON Shah Alam. Seawal jam 9 pagi kami sudah bersedia dan membuat persiapan sambutan. Tepat jam 11 pagi bermulalah detik sejarah tersebut namun tak dapat banyak yang kurakam dalam kamera kerana pandangan kameraku dihalang oleh para jurukamera yang lain.









Selesai sahaja majlis perasmian kami membuat persembahan santai selama satu jam. Alhamdulillah dapatlah buat promosi kelab di sana. Sebelum pulang kami makan dulu di Chicken Rice Shoppe dan pukul 2.00 petang kami bertolak ke IPD Shah Alam untuk menjalani latihan bersama-sama koir mereka.


Saturday 12 March 2016

SPM

3 Mac 2016 keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan dengan rasminya. Dua orang ahli kelab ini turut menyertai ratusan murid yang lain mengambil keputusan mereka...Azizah Yasmin dan Ahmad Amnan. Tahniah di atas kejayaan anda berdua...semoga segalanya dipermudahkan untuk kalian berdua mencapai kejayaan yang lebih gemilang!

Ahmad Amnan

Azizah Yasmin